Sunday, 26 June 2016

kesantunan bahasa

1.0 PENDAHULUAN
   Pada masa kini, telah banyak filem telah disiarkan di khalayak ramai dalam pelbagai genre. Akan tetapi, filem dan drama Melayu  yang disiarkan oleh pihak televisyen Malaysia banyak memaparkan kisah-kisah masyarakat yang mengabaikan aspek kesantunan dalam masyarakat Malaysia. Perkara ini sangat tidak sejajar dengan konsep keperibadikan orang Melayu yang dikatakan hidup dengan penuh kesopanan. Malahan, hal ini  akan mempengaruhi gaya hidup masyarakat agar menjadi lebih negatif dan tidak mengamalkan lagi kesantunan dalam hidup mereka. Oleh sebab demikian, kesantunan harus dipupuk dalam hidup masyarakat sejak kecil.
   Definisi kesantunan ialah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Dr. Awang Sariyan(2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradap, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu sehingga menjadi prasyarat bermasyarakat. Contohnya, semua masyakat Melayu melarang anak-anak mereka agar tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua dari mereka kerana perbuatan tersebut dianggap tidak menghormati orang lain.
   Kesantunan berbahasa terbahagi kepada dua iaitu kesantunan berbahasa verbal dan kesantunan berbahasa non verbal. Kesantunan berbahasa verbal merujuk kepada percakapan, lisan dan pertuturan. Hal ini menjelaskan bahawa masyarakat yang penuh kesantunan akan bertutur dengan menggunakan bahasa halus. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tertib.

Kesantunan berbahasa non verbal pula ialah komunikasi bahasa tanpa kata-kata atau dikenali sebagai bahasa tubuh dengan cara beradap dan sopan. Bahasa tubuh, ekspresi wajah yang merangkumi hubungan mata memainkan peranan yang sama penting untuk melestarikan konsep kesantunan berbahasa non verbal itu. Tuntasnya, tidak kira sama ada melalui verbal atau non-verbal, konsep kesantunan berbahasa itu perlu ada pada setiap insan di atas muka bumi ini
2.0 Filem yang dipilih sebagai filem pilihan
   Untuk menonjolkan kesantunan dalam filem atau drama, saya memilih filem “PAPA I LOVE YOU”. Saya beranggapan bahawa filem ini bersesuaian dengan tema kesantunan yang saya cuba tonjolkan dari aspek positif dan negatif. Filem ini juga bersesuaian dengan semua lapisan umur dan mampu memupuk kesantunan serta memberi pengajaran kepada masyarakat.
3.0 Sinopsis
   Filem Papa I Love You turut dibintangi pelakon cilik, Mia Sara Nasuha sebagai Mia. Filem Papa I Love You mengangkat kisah kasih sayang dan dilema yang dihadapi bapa tunggal, Bahar lakonan Zalif terhadap anaknya, Mia selepas kematian isteri manakala Lisa melakonkan Elly.Selepas kehilangan isteri tercinta, Bahar terpaksa berusaha hidup berdikari. Dia yang sebelum ini sibuk dengan pelajaran dan pengalaman bekerja yang berdepan banyak masalah, membuatkan dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk membina hidup baru.

   Namun, atas semangat, dorongan dan kasih sayang terhadap anaknya, Bahar nekad untuk berubah. Apakah Bahar akan berjaya melakukannya? Perkenalan dengan Elly juga banyak membantu Bahar menguruskan Mia yang rindukan kasih sayang seorang ibu.Di sisi lain pula, Elly yang tiada hubungan baik dengan bapanya cukup kagum melihat kasih sayang terjalin antara Bahar dan Mia. Apakah Elly juga mampu memaafkan dan menerima bapanya semula? Papa I Love You mengungkap kasih seorang bapa.


4.0 Ulasan
Karya kedua Hashim Rejab selepas Sekali Lagi ini ternyata filem yang dekat di hati penonton tempatan. Ketepikan unsur komersial berlebihan, lawak jenaka bodoh, drama air mata atau kesan khas yang memeningkan, Papa, I Love You sebuah naskhah jujur. Jujur di segi plot, watak dan jiwa filem itu.Penulis 'tabik spring' kepada Zalif yang berjaya membawa diri sebagai Baha, bapa tunggal yang terpaksa menyara anak perempuan tunggalnya, Mia. Walaupun terlalu hijau untuk dikategorikan hebat dalam lakonan, Zalif sebenarnya berjaya mengharungi setiap detik dengan bersahaja.



Mungkin bunyinya seolah-olah Papadom karya Afdlin Shauki yang turut mengangkat tema sama, Papa, I Love You sangat ringan dan sesuai sebagai filem keluarga.Bukan bertujuan membezakan karya Afdlin dan Hashim tapi bila diamati, kedua-duanya mempunyai daya tarikan sendiri dan kelebihan. Bagi penulis, karya Afdlin berat manakala Hashim lebih ringan.Jika bakat lakonan Zalif dapat dicanai dengan lebih mendalam, tidak mustahil kita akan melihat kematangan dalam jiwanya kelak.

Sayangnya, Lisa Surihani seolah-olah hilang taring membawa watak Elly. Entah mengapa, dia bagai hanyut dalam dunianya sendiri. Secara jujur, bukan tujuan penulis menyatakan sisi buruk lakonannya tapi kematangan Lisa sebagai pelakon berkaliber kurang jelas.Selain geraknya yang dirancang pengarah, wajah comel serta cara Mia menyampaikan dialog masih mentah untuk diperkatakan penulis. Pun begitu, anak kecil itu mempunyai daya tarikan sendiri untuk menguatkan jalan cerita Papa, I Love You. Penulis juga kurang faham dan sedikit kecewa dengan beberapa plot yang ibarat 'melepaskan batuk di tangga'. Antaranya ketika cuba menonjolkan sisi perubahan setiap watak yang dilakukan tampak pantas. Saya sangat berpuas hati dengan filem ini. Ia ibarat menikmati air tangan ibu sendiri, walaupun hidangan itu sekadar telur goreng dadar berintikan bawang dan cili.
5.0Kesantunan berbahasa
   5.1 Kesantunan verbal
                 Kesantunan berbahasa verbal merujuk kepada percakapan, lisan dan pertuturan. Kesantunan berbahasa verbal ditonjolkan terutamanya semasa bercakapa dengan orang lain, bergurau senda dengan rakan-rakan, menyampaikan maklumat, bertanyakan sesuatu, membuat pembentangan kepada umum dan lain-lain lagi. Secara ringkasnya, konsep kesantunan berbahasa verbal merujuk kepada semua aspek komunikasi secara lisan.
                Sebagai analoginya, melalui media massa seperti radio, televisyen dan internet, pengucapan awam dan ceramah, seminar, serta sesi ucapan. Masyarakat Melayu amat mementingkan kesantunan berbahasa kerana bahasa melambangkan kehalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur dan masyarakat tersebut. Contohnya, bersalam-salaman apabila bertemu orang yang dikenali sebagai tanda menghormati orang lain.

  Kesantunan berbahasa verbal yang saya dapati dalam filem ini ketika adegan Mia dan Zalif berkhemah pada malam hari.
     “ayah, kenapa kita tidur disini?”
     “laa.. kan Mia cakap bosan tidur di rumah jadi kita tidur di sini”
   Adegan ini menunjukan bahawa Zalif sebagai ayah sangat sayangkan anaknya sehingga dia sanggup untuk memasang khemah untuk mereka tidur di luar rumah. Anaknya, mia memberi respon gembira sebagai menunjukkan rasa suka terhadap apa yang telah dilakukan oleh ayahnya. Dalam petikan surah al-israk ayat 23 ada menyatakan “dan hendaklah kamu berbuat baik terhadap ibubapa” ini menunjukkan bahawa kasih sayang antara keluarga dan anak-anak adalah sangat penting dalam perhubungan .
   Seterusnya, antara kesantunan berbahasa verbal yang dapat dilihat melaui filem ini adalah ketika Zalif masuk ke kedai untuk menanyakan tentang kerja kosong.
     “hello, selamat sejahtera ada apa yang saya boleh bantu ?”
     “selamat sejahtera, erm,saya Nampak kertas di depan tu untuk kerja kosong.”
   Melalui adegan ini, kita dapat melihat Bob menyapa Zalif dengan baik dengan mengucapkan selamat sejahtera. Mereka berdua menggunakan bahasa yang sopan ketika berinteraksi. Percakapan yang sangat sopan sangat mempengaruhi sikap seseorang terhadap kita. Layanan yang baik akan di balas dengan layanan yang baik juga. Hal ini jelas membuktikan kesantunan berbahasa verbal wujud dalam dialog ini. 


  5.2 Kesantunan non verbal
               Kesantunan non verbal ialah komunikasi bahasa tanpa kata-kata atau dikenali sebagai bahasa tubuh dengan cara beradap dan sopan. Bahasa merupakan proses pertukaran fikiran dan idea di mana mesej disampaikan seperti melalui isyarat, ekspresi wajah, padangan mata, sentuhan dan gerakan tubuh. Konsep kesantunan berbahasa non verbal ini merujuk kepada semua perlakuan yang tidak menggunakan bahasa lisan untuk menyampaikan mesej yang dapat difahami. Ekspresi muka dapat menjadi sumber informasi yang menggambarkan keadaan emosional seseorang seperti perasaan takut, marah, jijik, muak, sedih, gembira dan minat. Kita juga boleh mengetahui bagaimana sikap seseorang jika dia seorang yang bersiap sedia untuk berinteraksi atau memberi perhatian terhadap penutur atau tidak melalui mata.
   Melaui adegan ini, kesantunan berbahasa non verbal dapat dibuktikan melalui perbuatan Zalif yang mencium dahi anaknya, Mia. Ini telah menunjukkan sikap kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Ini juga telah menunjukkan bahawa mereka menerapkan sifat kesantunan berbahasa non verbal dalam kehidupan seharian mereka.
   Adegan ini menunjukkan perasaan marah Zalif terhadap Lisa kerana Lisa telah bersama anaknya tanpa pengetahuannya. Ketika ini,jelas bahawa Lisa tidak mengamalkan kesantunan kerana telah bersama anak Zalif tanpa pengetahuan bapa kandungnya sendiri. Kesantunan berbahasa non verbal yang patutLlisa lakukan ialah memberitahu terus bahawan Mia bersama dengannya ketika bapanya sedang mencari anaknya yang hilang itu. Sepatutnya Zalif juga tidak perlulah memarahi Lisa. Dalam firman Allah di dalam al-quran juga ada menyatakan “kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata lemah lembut ,semoga ia beringat atau takut”. Melaui ayat ini, islam menyatakan bahawa kita perlulah menggunakan kata-kata yang baik ataupun lembut. Zalif sepatutnya menyelesaikan dengan cara yang baik supaya Lisa dapat menerimanya dengan senang hati.
   Adegan ini juga menunjukkan mereka saling berpegang tangan dimana menunjukkan bahawa mereka saling menyayangi antara satu sama lain. Kesantunan berbahasa itu dapat dilihat ketika mia mengajak Zalif dan Lisa untuk makan. Mia mengajak dengan sopan untuk makan bersama dan mereka menuruti permintaan mia tersebut. Jadi, jelas menunjukkan rasa kasih sayang orang dewasa kepada kanak-kanak.

6.0 Justifikasi terhadap hujah
   Secara keseluruhannya, kesantunan berbahasa sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia ia melambangkan tingkah laku, sikap dan budaya sesebuah masyarakat itu. Jika sesebuah masyarakat itu tidak ada kesantunan dalam berbahasa, maka mereka akan mudah bertelagah antara satu sama lain. Namun begitu, kesantunan dalam berpakaian juga dituntut kerana dari pelbagai segi sebagai contoh pakaian. Contohnya, seseorang yang berpakaian tidak sopan bermakna mungkin individu tersebut kurang sopan tingkah lakunya. Walaupun begitu, kita tidak digalakkan menilai seseorang dengan melihat luaran sahaja. Hal ini kerana, kadang-kadang luaran tidak melambangkan hati yang di dalam sama ada baik ataupun tidak baik.
   Selain itu juga, golongan muda pada hari ini juga sudah hilang rasa homatnya kepada golongan tua. Keadaan ini berlaku tidak kira dari segi pertuturan mahupun perbuatan. Dari segi pertuturan, kita sendiri boleh lihat bagaimana orang muda menggunakan kata ganti nama diri mereka sewaktu berbicara dengan orang yang lebih tua. Contohnya, ‘Mak aku nak duit belanja lebih hari ni sebab nak beli buku’.Berdasarkan contoh tersebut, penggunaan kata ganti nama diri ‘aku’ itu langsung tidak sesuai digunakan apatah lagi apabila kita berbicara dengan ibu bapa kita. Pada pendapat saya, penggunaan kata ganti nama diri ‘aku’ itu terlalu kasar dan ianya perlu diganti dengan kata ‘saya’ yang lebih bersifat sopan.
   Seterusnya, dari segi perbuatan pula, situasi yang tidak mengamalkan kesantunan berbahasa adalah sewaktu menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, kereta api dan seumpamanya  yang mana golongan muda tidak memberi laluan atau ruang untuk golongan tua  untuk duduk. Mereka lebih gemar membuat hal sendiri tanpa memperdulikan kewujudan insan lain yang lebih berhak untuk duduk. Keadaan ini jelas memaparkan sikap atau perbuatan mereka yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada golongan itu. Oleh itu, diharapkan keadaan seperti ini dapat diubah seperti bak kata pepatah ‘Yang tua dihormati, yang muda disayangi’.

7.0 Rumusan

   Kesimpulannya, adalah sangat penting untuk kita saling menjaga kesantunan bahasa Melayu kita supaya dapat memartabatkan kesantunan berbahasa  sebagai satu nilai yang sungguh unik dan harmonis di mata dunia. Sebagai penutup, apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi, maka lambat-laun hilanglah bangsa itu. Sikap meminggirkan bahasa akan melenyapkan bangsa sendiri dalam negara bangsa yang dibina sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, “bahasa melambangkan jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”. Tidak maju sesuatu bangsa itu tanpa adanya bahasa.

No comments:

Post a Comment